CAMPING #2: PERGAM GUNUNG CAMP'S & CHALET, RAUB PAHANG

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wmt wbt,

Catitan dan nukilan rasaku bersambung lagi. Mood dan idea menaip dah mula pulih sikit selepas kami sekeluarga baru 'kehilangan' si bulus kesayangan kami bulan Julai 2025 lepas. Perasaan tu, hilang terus, mood terus swing dan rasa macam separuh jiwa kami hilang bersama pemergian bulus kesayangan kami, Mike namanya. Kalau dengar, macam mengada-ngada je kan? "Alah, kucing je pun"...itu persepsi ramai orang. Tapi pada kami, Mike dah macam part of us. Yang sering buat kami tertawa, tersenyum saat pulang dari luar, segala beban dan stress kami hilang saat melihat keletah Mike, si debab yang kami sangat sayang.

Apakan daya, setiap kehidupan ini, ujian kematian akan dirasai oleh semua benda bernyawa dan hidup. Itu adalah satu hakikat yang mesti diyakini dan dihadapi oleh semua. Mike pergi selamanya....meninggalkan pada kami memori dan kenangan terindah bersama sepanjang kami menjaga Mike saat dia mula datang ke rumah kami, sampailah nafas akhir Mike pada 25 Julai 2025 (Jumaat).

Beban jiwa yang sangat mendalam akibat rindu dan sayang, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sakit sangat...Semoga kami sekeluarga akan dihimpunkan kelak bersama dalam syurga Allah dengan izin dan redha Allah juga. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin...

Dalam masa nak hilangkan rasa sedih yang teramat tu, kami sekeluarga telah plan satu percutian bagi mengubati hati dan perasaan kami. Aku dan suami rasa percutian ni perlu sebab anak sulung aku paling terkesan dengan kehilangan Mike, manakan tidaknya. Mike tu hari-hari dia tatang dan bersihkan bulunya, sampai dia panggil Mike tu 'suami' dia. Kelakar kan....tapi itulah jiwa kami yang telah sangat sayang kan makhluk ciptaan Allah ni. 

CAMPING PORT KE-2: PERGAM GUNUNG CAMP'S & CHALET, RAUB PAHANG

Tarikh 1 Ogos 2025 hingga 3 Ogos 2025, merupakan tarikh percubaan kali ke-2 kami untuk ber'camping' lagi setelah merasakan suasana dan keindahan di Pak Man Chalet, Batu Malim Pahang pada 27, 28 hingga 29 Jun 2025 lepas. Kali ni, kami mencari pula suasana yang lebih mencabar sikit, lebih ke dalam dari jalan utama Batu Malim, Raub Pahang. 

Perjalanan dari Melaka kami mulakan pada pagi jam 8.00 pagi terus ke Raub, Pahang. Kami sampai dalam jam 2.30 petang di lokasi. Masa sampai, kami macam pelik juga sebab tak nampak langsung tapak camping

Aku terus whatsapp owner untuk tahu dimana lokasi tapak camping sebenarnya. Nasib baik owner respons cepat, memandangkan kami dah tak sabar nak dirikan khemah, bercamping dan 'main' masak-masak.

Rupanya kami perlu drive masuk ke dalam laluan kebun getah dan kelapa sawit untuk sampai ke tapak perkhemahan. Cuak juga kami bila tengok sekitar kami adalah kebun getah dan sawit dan agak ke dalam sikit dari jalan utama.

Tapi, bila nampak gambaran chalet dan tapak camping dari pagar utama masuk ke site, kami tawakkal je nak redah. Adventure lah kononnya. Sampai je di tapak camping, kami terpandang pada chalet yang dibuat dari kayu dicat warna kayu keemasan. Cantik sangat sebagai ikon utama yang pengunjung akan lihat bila sampai di tapak camping.

Masa sampai, aku whatsapp owner yang tak dapat datang menyambut kami, memandangkan beliau menguruskan katering dan kantin. Salah aku juga, sebab main terjah je datang situ. Tapi, Alhamdulillah, owner memang sangat baik hati dan membantu.

Aku dan keluarga sempat ke tapak camping yang pada waktu tu masih dalam pembinaan dan belum sedia untuk diduduki. Memang cantik, cumanya hanya keluarga aku je petang tu yang aku nampak untuk berkhemah. Tapi aku yakin, selamat. Suasana pun sangat tenang dan damai, tak dengar pun bunyi kereta atau motor lalu-lalang. 

Jadinya, kami cari port yang berdekatan dengan rumah chalet kayu yang terletak di pintu masuk tadi, sebab kami rasa senang nak akses ke tandas. Pada kami, keutamaan tandas dan air merupakan fasiliti utama yang akan kami pastikan mudah sebelum kami confirmkan tapak kami bermalam.

Nak jadikan cerita, tapak yang kami pilih tu memang lapang sahaja. Sebenarnya owner tak prepare apa-apa pun kat tapak tu, tapi memandangkan kami ni pelanggan yang terjah je, nasib baik pekerja owner yang tengah menyiapkan kerja-kerja di tapak camping, menyediakan plug point untuk kami guna.

Sempat juga aku whatsapp owner dan tanya, "Puan, kami je ke bermalam di sini minggu ni?". Dan owner membalas, "Betul puan". Mungkin takut aku risau, owner membalas lagi,"Jangan risau puan, nanti saya dan keluarga akan buat kenduri esok di sana. In shaa Allah, riuh nanti". Lega juga aku bila owner dah cakap macam tu.

Masa setting khemah, suami pula hidupkan api (BBQ) untuk masak air panas, memandangkan aku memang jenis minum air panas memanjang. Air suam atau air manis berperisa ni, aku kurang sikit. Aku lebihkan pada air panas seperti teh dan nescafe' untuk feel tu. Lagipun aku dah terbiasa, mesti pekena air panas, tak boleh skip sehari.

Ngam-ngam air panas masak, nampak kelibat kereta 4X4 berhenti depan rumah chalet dan keluar seorang pakcik berjalan menuju arah khemah kami. Aku dan suami dapat mengagak itu owner tanah camping ni. Selepas beri salam, ramah sungguh pakcik berbual mesra dengan kami. Sambil berbual, aku teruskan juga memasang khemah. Sebab cuaca sejuk dah mula datang, takut-takut hujan pula.

Lama juga berbual, pakcik dari berdiri sampaikan kami jemput duduk di kerusi khemah kami dan aku sempat menghidang air nescafe panas untuk pakcik bersama biskut bulat. Masa mula sampai, kebetulan ada sebiji durian yang baru jatuh, dan kami maklumkan kepada pakcik. 

Pakcik mengizinkan kami makan saja rezeki buah durian yang gugur. Kebetulan, tapak yang kami pasang khemah tu, berdekatan (lebih kurang 2 meter) dengan pohon durian. Ikutkan musim durian sepatutnya, masa bulan 6-7 lepas, berbuah lebat. Masa kami datang ni, supposedly dah hujung-hujung lah.

Alhamdulillah, mungkin rezeki kami, ada lagi buah hujung musim di atas pokok yang tunggu masa untuk gugur. Kami semua paling excited especially first time dapat dengar bunyi buah durian gugur dari dahan ke tanah. Ber'debub' jatuh ke tanah, sebab pokok-pokok buah duriannya tinggi-tinggi belaka, mungkin berusia lebih 10 tahun.

Hari pertama kami dah disajikan dengan buah durian. Aku maklumkan tuan tanah melalui whatsapp, ada buah durian gugur depan tapak kami bercamping. Tuan tanah sporting gile, "Rezeki puan, amik dan makanlah" responsnya. Adik aku orang yang paling seronok mengumpul buah jatuh dari atas pokok.

Malam tu, aku, adik aku, dan anak2 aku dah prepare makan malam special untuk kami. Tom yam daging dan daging slice (ala-ala shibuya) siap dengan sos nya dan sos pappermint 'vietnam roll' disediakan. Memang puas hati makan, tak payah nak restoran bagai.

Suasana malam memang sangat sunyi dan gelap, hitam pekat. Lagi-lagi hanya kami sekeluarga sahaja yang bercamping di situ, memang suasana sangat sunyi sepi, tenang dan kedengaran hanya cengkerik dan serangga hutan yang mendamaikan. Bunyi katak hutan juga bersahut-sahut, tak langsung kami rasa takut. Sebaliknya rasa sangat tenang.

Memang kami sahaja yang berkhemah di situ malam itu. Suasana sekeliling memang sangatlah gelap, sunyi. Dengar jugalah sebiji dua enjin motor di kampung seberang. Tapi, masih sunyi suasana tapak camping disitu.

Kami tak rasa takut, cuma kami saling ingat mengingat antara kami. Lampu-lampu khemah yang kami bawa, memang menyelamat suasana. Kebetulan pula tuan tanah yang baik hati, telah bukakan lampu-lampu di rumah chalet dan sekitar tapak di hujung tapak khemah kami.

Jadinya, memang terang dan tidaklah sepenuhnya bergelap kawasan itu. Mungkin itu pun antara sebab kami kurang rasa takut. Syukur, Allah permudahkan semuanya.

Malam kami borak-borak kosong, anak-anak dan adik tengok movie di tab, dengar lagu memang boleh rasa kita sangat dekat dengan alam. Bila mata dan badan mula bagi signal berehat, kami semua masuk khemah masing-masing. As usual...

HARI KE-DUA: BURGER SUNGAI PERGAM

Alhamdulillah, kami boleh tidur lena dan suasana memang sangat sejuk hingga ke tulang. Inilah suasana camping yang sebenarnya dapat aku rasakan. Tidur berlapik di khemah di atas rumput, jauh dari bising nya suasana bandar dan enjin kenderaan, terasing dari kesibukan dunia fana. Kena feel benda ni sebenarnya. 

Bangun pagi, memang excited sangat sebab, kabus je. Bunyi air sungai mengalir manja seakan menarik-narik hati untuk mandi. Aku chill lagi, sebab nak tolong adik aku sediakan sarapan pula. Isi perut dulu, lepas tu baru mandi. Anak-anak aku dah terjun dulu dah ke sungai. Suami aku, hidupkan api dan kumpul kayu untuk dijadikan bahan bakar.

Dapur masak kami, tak guna butane gas dan stove masak tu. Kami ala-ala wild sikit. Masak atas kayu hutan yang kami kumpul di sekitar kawasan. Feel sangat especially bila buat bakar-bakar, smoked flavour tu.

Pagi tu, aku dan adik habiskan stok daging slice buat dengan  rice paper ala-ala vietnam roll, cicah dengan sos yang adik aku buat semalam. Sambil tu, aku tanak nasi nak goreng nasi untuk makanan tengahari.

Selesai masak, kami semua makan. Makanan memang kami tak risau sebab aku dah bawa banyak stok makan untuk 3 hari 2 malam kami bercamping. Jajan dan biskut wajib ada, termasuk maggie. Jadi, istilah lapar tu, tak ada bila kami bercamping.

Lepas makan nasi, baru rasa nak mandi sungai. Aku, anak aku, adik aku, turun ke sungai. Suami aku pula, jaga khemah kami. Sebab, antara khemah dan sungai tak jauh, cuma ia ke atas sikit dan jauh dari pandangan kami bila dah turun ke sungai.

Lepas aku dah main-main air, badan bagi signal nak rehat kejap. Aku terus naik ke tebing, nak makan apa yang ada, lepak-lepak. Adik aku pun sama, tapi anak-anak aku masih di sungai. Giliran suami aku pula turun ke sungai bersama anak-anak.

Dalam pada tu, aku dan adik aku cuba lelapkan mata sikit, rehatkan badan dan minda. Aku masuk ke ruang khemah solat (khemah tukar baju sebenarnya) dan adik aku terlentang di tikar yang aku hamparkan di tapak kami pasang khemah.

Lama juga kami berehat, kira-kira jam 3.00 petang, aku turun ke sungai, tengok anak-anak dan suami aku yang tak naik-naik dari saat aku terlelap tadi. Bila aku turun, suami aku pula naik, kakinya cramp katanya. Sejuk sangat airnya, dan kebetulan dah lama juga suami aku berendam.

Lama juga aku berendam dengan anak-anak aku. Tunggu juga adik aku turun, tapi tak turun-turun ke sungai. Aku teruskan lagi main air dengan anak aku. Siap kumpul batu-batu buat macam tebing kecil kat port kami mandi. 

Air sungai mengalir tak deras, tapi laju lah. Air memang sejuk, pemandangan alam menghijau dengan pokok-pokok hutan, ditambah bunyi burung berkicau riang. Rama-rama menari bersama di atas batu-batu tepi gigi air, berwarna-warni spesis nya.

Kebetulan, tuan rumah ada buat kenduri cucunya sambung belajar di pondok tak jauh dari tapak kami, tapi terlindung dengan kumpulan pokok durian yang tinggi melangit. Jadinya aktiviti kami taklah terasa janggal sangat, bila-bila ada pula majlis kenduri di tapak camping.

Suami aku, sempat hadir  ke majlis kenduri tuan tanah. Tapi aku seganlah nak pergi, dengan baju mandinya, lagipun segan sangat aku nak ke sana. Apapun terima kasih pada tuan tanah Pergam Camp's & Chalet sudi menjemput kami ke majlis kenduri mereka. Alhamdulillah, suami aku cakap, majlis mereka berjalan lancar.

Dah duduk lama dalam air, dari atas aku nampak adik aku bawa sepinggan makanan. Dalam hati aku dah boleh agak menu apa yang dia busy sangat di atas tu siapkan.

Sampai je dia kat kaki air sungai, betul tekaan aku. Dia masak burger handmade dia!

Senyum je aku anak beranak dalam air, orang bawakan makanan. Siapa tak suka. 

Dalam air tu jugalah, adik aku hulurkan sepinggan burger handmade dia, seorang sebiji untuk dimakan. Rasanya, memanglah amat nikmat, dapat makan dalam air sungai yang sejuk, burger panas-panas pulak tu!.

Sempat kami berposing dalam air makan burger, Masa berposing tu, sebelum tu kebetulan hanyut satu papan kayu cantik dalam air sungai tu. Aku terus capai kayu tu, kami berposing dengan kayu tu sambil letakkan sepinggan burger atas kayu tu. Feel best gile!

Kami sambung mandi sampai matahari mula jatuh di ufuk dan suhu sekeliling turut mulai terasa sejuk. Tanda siang akan berlabuh dan diganti malam. Aku terus naik ke atas, bersama adik dan anak-anak aku.

Petang tu, nasi goreng masih ada, daging burger masih ada, kami memang masih kenyang. Tak lapar dan makanan apa yang ada, kami cuba habiskan. Pun tak habis juga, especially nasi goreng.

Mana tidaknya, semua balun buah durian fresh Pergam Camp's & Chalet.

Malam, menu wajib aku air panas mesti ada. Dapat biskut atau makanan ringan-ringan lain, dah cukup pada aku.

Malam, suasana lebih sejuk dari hari pertama. Kami jangkakan hujan, sebab forecast weather kami mengatakan banyak tempat hujan.

Kami borak-borak, sambil layan phone, tab dan dengar lagu nostalgia dalam suasana hening macam tu. Bayangkanlah feel tu macam mana. Aman...

Suami aku awal lagi dah masuk khemah lepas dah duduk berborak sampai jam 10.30 malam macam tu. Lepas tu, sorang-sorang mengikut jejak langkah. Tapi memang sebelum masuk tidur, kami akan make sure semua dah buang air kecil dan air besar sambil beramai-ramai ke tandas bersama. Kelakar kan...

Terasa macam hidup zaman dulu kala balik. Orang dulu-dulu buat tandas di luar rumah. Suasana perkampungan orang dulu-dulu, cahaya lampu pun terhad. Rumah pun sebiji-sebiji di bina berasingan dan jauh dari jiran sebelah.

Jadi, nak ke tandas luar, memang berjemaah, bawa lampu suluh atau lampu minyak tanah. Perut sakit pun boleh rilek lagi, sebab mana nak layan dulu? Sakit perut ke atau meredah malam yang gelap pekat...Merasa lah juga aku zaman tu...

Berbalik pada kami ke tandas beramai-ramai di tapak, selesai lepaskan hajat masing-masing, kami semua masuk ke khemah. Lampu di luar khemah, kami biarkan sahaja terpasang, tak lah gelap je nanti sekitar khemah kami.

HARI KE-TIGA: TAPAU DURIAN

Sedar tak sedar, hari ni kami dah mula bersiap nak balik ke Melaka semula. Lupa nak cerita, aku tak ingat, pagi sebelum subuh yang ke berapa. Anak kedua aku dan adik aku dah bangun awal dari tidur dan lepak di meja makan.

Aku yang boleh senang terjaga bila dengar bunyi, saja je baringkan badan dalam khemah. Lepas tu, aku dengar suara mereka bising dan bercakap kuat. 

Aku yang tertarik nak tahu apa yang kecoh-kecoh di luar, bangun dan terus buka zip khemah untuk lihat ke luar. "Apa tu?"tanya aku yang sibuk nak tahu. "Kelip-kelip! Cantik!"balas anak dan adik aku. 

Aku cuba juga tengok, tapi mata tak berapa jelas. "Mana?"tanya aku lagi. "Ni ha.."balas anak aku sambil kedua tangannya yang dirapatkan ke bumbung khemah, dan nampak akhirnya kelip-kelip seekor bercahaya di telapak tangan anak aku.

"Sesat agaknya"aku sambung, memandangkan hanya seekor sahaja kelip-kelip di situ. "Itulah, mngkin"balas adik aku. Yalah, malam tadi kebetulan hujan renyai-renyai dan suasana sejuk sangat. Embun sejuk yang berkumpul di bumbung khemah, ditambah lampu yang kami pasang, menarik minat kelip-kelip tu tempat khemah kami. 

Sempat juga anak dan adik aku mengambil video kelip-kelip tu untuk dijadikan memori kami nanti.

Lepas tu, aku minta anak aku lepaskan dia. Sebab aku ada terbaca, kelip-kelip ni antara spesis yang hampir pupus sekarang. Kesian dia...

Memandangkan pagi tu, pagi camping akhir kami di situ, sarapan pun simple-simple je. Kacang pool, ada lagi daging burger semalam tak habis makan, kami panaskan dan makan. Air panas wajib!

Aku sikit-sikit mula packing barangan yang aku rasakan dah tak berapa nak pakai lagi. Siap awal, dan senang nak organize. Lepas mandi, aku terus je packing, basuh pinggan dan peralatan yang dah kotor.

Siap semua berkemas, tengah sibuk semua nak balik, jatuh lagi sebiji dua buah durian. Kami dapat kumpul lebih kurang 6 biji hari akhir tu. Mula-mula berkira-kira juga sama ada nak tinggalkan je, atau kopek sahaja buah yang ada untuk makan.

Akhirnya, adik aku kopek je semua buah yang kami kutip masukkan dalam tupperware yang kosong. Untuk makan di Melaka nanti, adik aku nye alasan. Memang puas gile adik aku kali ni makan durian fresh!

Apapun aku sempat maklum pada tuan tanah, kami makan bauh durian yang gugur di tapak. Tuan tanah sporting habis, memang bagi kami makan. Rezeki kami.

Masa nak keluar dari kawasan tapak tu, kereta suami aku nak jadikan cerita tak boleh naik ke jalan besar. Memang kereta kami parking ke bawah sikit (taklah curam sangat), dan kebetulan malam tu hujan renyai dan rumput basah.

Bila kereta nak naik ke atas jalan, stuck dan roda berputar di sekitar cenuram tu je. Tayar tak cengkam tanah, sebaliknya bila roda ligat berpusing habis rumput sekitar botak.

Aku dah cuak habis dah takut tak lepas kereta nak naik. Kepala dah mula fikir, naya kalau tak lepas ni. Macam mana nak balik Melaka?

Kali ke-2, suami aku usaha lagi tekan minyak dan cuba lagi naik. Gagal!. Lagilah aku tak senang hati. Kali ke-3, aku dengan anak sulung aku, tak putus-putus baca doa dan zikir minta Allah mudahkan.

Suami aku undur kereta ke belakang sikit. Lepas tu, terus dia tekan minyak. Alhamdulillah! Akhirnya lepas juga, walaupun hujung-hujung tu, macam almost sangkut juga tayar belakang.

Lega aku dengan anak aku tengok. Yeahhh!!! Boleh balik Melaka!!

Sebelum balik, sempat aku dan anak tengok sangkar landak peliharaan tuan tanah di kawasan sekitar dan bergambar kenangan. Besar juga landak peliharaan mereka. Bayangkan, buah durian tu owner bagi landak makan beb!. Mewah ko landak!.

Perjalanan balik ke Melaka, kami seperti sebelum ini, sempat singgah ke kedai makan tepi jalan Kak Sue Nasi Ulam, Raub Pahang (rujuk post aku sebelum ini: camping di Pak Man Batu Malim) pekena patin tempoyak, budu tempoyak, dan menu masakan kampung yang memang puas hati. Ni kali ke-2 kami repeat di kedai yang sama.

Kenyang perut, kami terus bergerak pulang ke Melaka. Hati memang rasa damai dan teringat-ingat lagi suasana mendamaikan air sungai di Raub, Pahang. In Shaa Allah, ada rezeki, kami pasti akan datang lagi!

Terima kasih Allah atas peluang ini. 































Comments

Popular Posts