Assalamualaikum wmt wbt,
Jari-jemari kembali mencari idea untuk berkongsi pengalaman yang telah aku dan keluarga tersayang lalui agar dapat di kongsikan kepada pembaca yang sudi singgah di blog aku ini kelak membaca tulisan aku. Memandangkan tahun 2025 masih sedang dilalui saat ini, aku cuba mengimbau kembali percutian yang tak disangka-sangka menjadi dan yang paling diingati aku dan keluarga malah adik-beradik ku. First time buat Family Day (FD) yang almost semua adik-beradik, anak buah join!.
*Pulau Kapas. Sumber: Vocket
Sedikit latar belakang aku sebagai permulaan pengenalan kepada ahli keluargaku. Aku merupakan anak sulung perempuan kepada sembilan orang adik-beradik kepada Allahyarham bapaku Mahat bin Kamat dan Allahyarhamah ibuku, Zuriah binti Abdul Latif. Keduanya telah lama kembali ke rahmatullah, seingat aku Allahyarham abah pada tahun ke dua aku belajar di UIA dan mak aku pula, aku tlh berkahwin dan telah pun memiliki 2 orang anak perempuan aku sekarang. Dibawah aku, adik lelaki (Angah), bawah angah pula Pak Bibik & Pak Lang (Kembar), lepas itu Mak Itam, Mak Oteh, Pak Cik (lelaki belum berkahwin), Acik (perempuan belum berkahwin) dan akhir sekali Ucu (perempuan belum berkahwin juga). Daripada kami bersembilan, hanya 3 daripada kami masih membujang, iaitu 1 orang yang lelaki dan 2 orang perempuan. Lain-lainnya semua telah berumah tangga memiliki anak dan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing.
Kami adik beradik memang sangat rapat dari kecil, especially aku dengan angah, pak bik dan pak lang. Manakala hubungan aku dengan adik perempuan aku, Oteh, Ucu dan Acik pun rapat juga. Oteh ni, walaupun jarak umur kami agak jauh, masa aku baru berkahwin dan tinggal menetap di Kuala Lumpur, masa tu abah dah meninggal dan kami sekeluarga membenarkan satu keluarga yang menguruskan anak yatim ni untuk Oteh sambung belajar di sana, ditanggung segala makan minumnya oleh keluarga angkat ni. Kira macam duduk asrama disediakan suami isteri yang kaya ni, tapi pemurah hati. Rumah mereka terletak di Taman Tun Dr Ismail, KL dan aku suami isteri sering datang melawat Oteh ke sana bagi menghilangkan rasa homesicknya kepada keluarga di Melaka. Jadi, banyak masa Oteh ni sebenarnya dengan aku dan suami yang sering bawa dia keluar dan kalau dia dibenarkan balik ke Melaka pun, aku dan suami akan bawa dia pulang bersama. Pendekkan cerita, memang kami rapat.
Manakala Ucu dan Acik ni pula, selepas mak meninggal, aku ni macam orang paling dekat dengan dia orang selepas mak aku meninggal. Kira macam 'orang paling tualah' untuk mereka tumpang kasih dan mengadu nasib. Setiap minggu dan sering kali ke rumah aku untuk bermain dengan anak-anak aku dan kami sering lepak bersama berkongsi cerita, meluah rasa. Mungkin mereka selesa dengan aku pun asbab kenapa aku lebih rapat dengan mereka. Yang lain-lain rapat juga, tapi biasalah bila dah ada keluarga masing-masing dah kena kemudi kehidupan mereka bersama keluarga mereka pula. Tapi setiap kali perayaan Hari Raya, kami tak lupa kunjung-mengunjung ke rumah masing-masing atau mereka akan berkunjung ke rumah aku sebagai kakak yang sulung. Alhamdulillah, walau tak rapat lagi macam waktu kecil, tapi kami pasti akan buat gathering untuk sesi dan masa suai kenal anak sedara, mak sedara.
HUBUNGAN KELUARGA DAN 'KESENDIRIAN'
Pagi ini aku asyik terfikir tentang beberapa bahan bacaan yang pernah aku baca di media sosial mengenai kehadiran kita sebagai khalifah Allah ni di bumi ini. Sebenarnya dah lama aku terfikir mengenai perkara itu, tapi selepas aku mula ber'blog' ni, aku cuba mengupas persoalan tu secara jelas agar aku dapat huraikan dalam penulisan aku. Fahaman aku melalui bacaan itu yang menerangkan, kita ini walaupun lahir di bumi Allah dalam keluarga yang ada ibu dan ayah, adik-beradik, datuk-nenek, mak-pak saudara, namun pada hakikatnya 'kita ini adalah sendiri'.
Menarik kan untuk otak kita fikirkan maksud mendalam pada perkataan 'kita adalah sendiri' tu? Tak tahulah kalau aku sahaja yang berfikiran macam ni atau pelik sikit. Tapi, aku mula memikirkan logik daripada maksud perkataan itu dan biasalah, aku mulakan kajian dan bahan bacaan aku bagi mendapatkan pemahaman kepada otak aku yang sering mendesak jiwa aku mencari jawapan.
Hasil bacaan aku, rupanya dalam surah Maryam ayat 95 ada menjelaskan perkara ini. Namun, sekiranya pemahaman aku khilaf, segala yang buruk datang dari diri aku sendiri. Ayat Surah Maryam:95 menjelaskan:-
Terjemahan Ayat: "Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari Kiamat dengan sendiri-sendiri"
Maksud terjemahan tersebut secara fahaman aku, adalah setiap dari makhluk manusia yang diciptakan Allah ini, akan dipertanggungjawabkan dengan perbuatan mereka dan setiap manusia akan di nilai oleh Allah secara individu atau sendirian. Walaupun di dunia ini kita memiliki keluarga, ibu dan ayah yang melahirkan dan membesarkan kita, teman baik yang mungkin sentiasa bersama kita, kelak kita seorang diri di hadapan Allah iaitu di hari penghakiman dan pembalasan, setiap apa yang dilakukan oleh kita hatta sekecil-kecil perkara akan ditanya oleh Allah. Sekiranya perhitungan itu baik, maka baiklah nasib kita, dan begitu juga sebaliknya. Semoga kita semua dilindungi Allah, mendapat redhaNYa dan dijauhkan dari azab api neraka. Aamiin....
Satu lagi ayat Al-Quran dari Surah At-Taghabun:15 berikut:-
Terjemahan ayat: "Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (ujian) bagimu, dan di sisi Allah-lah pahala yang besar"
Secara umumnya, kita memang mengerti bahawa setiap apa yang Allah berikan kepada kita berupa harta malah anak-anak yang dilahirkan oleh isteri dan para ibu merupakan ujian aqidah kita kepada Allah. Mengapa ia dipanggil ujian? Ini kerana, lahirnya anak itu atau limpahan rezeki berupa harta yang Allah berikan kepada kita, sekiranya kita gagal mendidik mereka dengan ajaran Islam yang sebenarnya, atau kita lupa pada nikmat pemberian Allah hingga melekakan kita pada tanggungjawab kita kepada Allah, maka kelak akan dihisab Allah. Semua perbuatan kita, akan ditanya dan disoal. Sekiranya didikan kita menjadikan anak-anak kita anak yang soleh atau solehah, dengan Rahmat Allah, In Shaa Allah, selamatlah kita dari ujian dan nilaian Allah kelak.
Oleh yang demikian, keluarga kita adalah amanah kita untuk membawa mereka ke jalan Allah. Kita dikumpulkan di dunia ini sebagai hubungan yang kita manusia kenal sebagai hubungan keluarga. Namun, di depan Allah kelak, kita akan berdiri sebagai hambaNya yang akan ditanya Allah, apa yang telah kau lakukan, apa yang telah kau berikan kepada keluarga kau untuk mereka kenal Allah dan mendidik roh mereka mencari jalan pulang mengenal Allah. Sebab hanya satu tujuan kita lahir ke dunia sebagaimana disebut dalam ayat Al-Quran dalam Surah Az-Dzariyat:56:-
Terjemahan ayat:"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jinn dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku"
Jelas terang ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa, tujuan kita manusia diturunkan ke bumi adalah hanya untuk menyembah Allah. Sedangkan bersama kita di dunia ini, Allah himpunkan bersama keluarga untuk kita tidak berasa sunyi dan berasa seorang diri. Masya Allah...sesungguhnya, ia jelas pada penerimaan akal fikiranku sekarang. Semoga kita semua kembali mencari Allah dan tujuan roh kita dipinjamkan di dunia yang fana ini dan semoga kita disempatkan oleh Allah mencari asal-usul roh kita di turunkan ke dunia mengenal Maha Pencipa yang Maha Kaya dan Bijaksana.
PLAN FAMILY DAY "HANGAT-HANGAT TAHI AYAM"
Berbalik kepada tajuk penulisan aku kali ini yang mengisahkan percutian aku bersama keluarga besar Allahyarham abah dan Allahyarhaman mak aku. Rancangan untuk mengadakan family day keluarga Allahyarham Mahat & Allahyarhamah Zuriah ni tak lah serius pada awal perbincangan kami sebenarnya. Tahun 2024 kami ada juga plan nak buat gathering, tapi tak jadi. Tapi siapa sangka tahun 2025 ni punya rancangan menjadi pula. Cumanya adik-adik memilih aku sebagai ketua rombongan, sedangkan aku malas nak jadi kepala rombongan. Maklumlah, aku lebih suka nak santai-santai je, tak mahu fikir banyak. Memandangkan aku merupakan kakak yang sulung dan tempat pilihan kami sekeluarga ni di Pulau Kapas, Terengganu Malaysia, itenari FD tu mudah pada aku (kami sekeluarga dan berkali-kali repeat ke sini, salah satu sebab juga aku dipilih sebagai ketua trip).
Pada awalnya, aku macam acuh tak acuh juga untuk teruskan plan FD belah keluarga aku ni. Bukan sebab apa, selalu kami plan, ada je yang tak participate dan last-last minit semua cancell. Tu yang sebelum-sebelum ni lah. Hujung-hujungnya nanti, paling teruk pun aku dan keluarga aku je yang continue berjalan, atau buka tent di laman rumah, healing sesama kami. Tu yang kadang-kadang aku samakan plan yang tak jadi tu macam 'hangat-hangat tahi ayam' je. Maksudnya, bercerita atau merancang beria-ia, tapi akhirnya, semua tak jadi atau batal. Tapi, Alhamdulillah tahun 2025 ni nampak semua adik beradik dan anak-anak buah aku commit nak join FD ni. Dan paling best, semua anak buah aku terpaling excited nak buat aktiviti FD yang dah aku senaraikan.
Dipendekkan cerita, awal Ramadhan kami rancang nak berbuka rumah Angah, kononnya nak bincanglah apa keperluan dan itenari yang akan kami lakukan pada hari pertama, kedua dan ketiga di Terengganu. Tapi, bila dah sampai minggu pada awal Ramadhan tu, semua cancell. Tu yang buat semangat aku down kit, 'jadi ke tidak ni trip ni?'. Masing-masing tak boleh commit sebab awal Ramadhan macam-macam halangan. Jadinya, perbincangan lebih kepada melalui whatsapp keluarga kami dan biasalah, memang lebihkan bertanya dari action.
Sampailah habis Ramadhan, nak sambut Hari Raya Aidilfitri pula. Alang-alang datang beraya, kami sepakat berkumpul rumah Pak Angah (kebetulan semua dapat berkumpul di sana) dan masa ni lah kami boleh berbincang mengenai trip FD kami. Semua berkumpul walaupun ada juga adik yang datang lewat, tapi matlamat membincangkan plan FD ni termakbul juga.
Di akhir perbincangan tu, aku diminta untuk menyenaraikan iternari bermula hari pertama FD, iaitu saat bertolak dari Melaka ke Terengganu itu. Berbekalkan sikit pengalaman kami sekeluarga ke Terengganu, aku buat rancangan seringkas yang boleh, tapi aktiviti utama FD kami iaitu BBQ, Snorkeling di Pulau Kapas + hiking di Bukit Singa (pada yang nak berhiking) yang pertama wajib aku senaraikan. Itenari aku buat simple je, aku share di sini untuk tatapan umum sahaja.
ITENARI - HARI PERTAMA
Hari pertama, kami bertolak dari Melaka seawal jam 6.00 pagi menaiki kenderaan masing-masing. Yang mana boleh pool, naiklah mana-mana kereta yang kosong, yang penting sampai arah tujuan. Aku, Mak Oteh selalu akan bergerak dulu, then kami berhenti di RNR Muadzam Pahang untuk isi perut sarapan. Dah alang-alang terus makan tengahari, dah malas nak berhenti-henti, sebab nak jimatkan masa. Dalam masa menyinggah mana-mana stesyen minyak tu, belilah apa-apa makanan ringan ke buah-buah ke untuk alas perut sampai ke Terengganu yang mengambil masa sekitar 7 jam masa sampai. Kebetulan kami akan singgah ke Kampung Nibong, Dungun dulu untuk mengambil stok ikan, sotong segar dari laut (kawan sepejabat suami dulu masa kerja KL, kini dah jadi tekong laut dan jual ikan segar). Jadi masa kami tambah lagi 1 jam untuk sampai destinasi.
Masa ambil ikan dan sotong tu, silap aku tak beritahu nak buat bakar-bakar untuk keluarga kami yang besar, jadinya kawan suami aku ni bagi ikan dan sotong yang anggaran untuk 10 orang makan je. Allah...silap kami, tapi nasib baik adik aku (Ucu) ni ada beli kambing perap dan Oteh pun ada bawa ayam perap. Dapatlah top-up yang kurang tu memandangkan rombongan kami ni ramai. Semua adik-beradik aku join kecuali, Mak Itam yang kebetulan suaminya dalam masa terdekat akan bertugas di Langkawi, untuk event Lima Langkawi, jadi terpaksa dahulukan tuntutan kerja. Tak mengapa, ada rezeki lain kali, mereka boleh join pula.
Sempat kami berhenti bergambar di Terowong Bukit Tebuk, Terengganu untuk abadikan memori kami sekeluarga di kawasan bersejarah. Terowong ini asalnya dibina pada tahun 1936 oleh syarikat Perlombongan Nippon (syarikat Jepun) bagi tujuan mengangkut biji timah dan ditutup operasi perlombongan pada tahun 1971. Namun, kini ianya dijaga semula bagi tujuan tatapan generasi muda yang akan datang, mengingati jerih-perih datuk nenek moyang dahulu kala.
Lepas puas bergambar, kami terus menuju ke rumah inap desa yang terletak di Gong Rusila, Kuala Terengganu, dan rumah inap yang dikenali sebagai De Rhumaa Homestay. Kenapa aku pilih inap desa ini, antara sebab utamanya, keluarga belah suami aku pernah buat Family Day juga di inap desa ini dan kami memang sangat puas hati dengan keluasan rumah yang sangat luas, memang boleh muat 30 orang rasanya. Owner sebenarnya ada 2 jenis rumah inap, yang mana jenis yang A (keluarga belah suami dah pernah inap) memang besar gile. Manakala rumah B boleh je muatkan untuk 20 keluarga dalam rumah tu. Owner tak kira berapa kepala, sedangkan ada pemilik inap akan caj kalau lebih pax yang masuk.
*Rumah inap jenis B yang laman nya lebih luas.
Nak jadikan cerita, kali ni kami dapat rumah inap B memandangkan rumah A telah pun di tempah awal oleh orang luar yang juga kebetulan bercuti pada tarikh sama kami iaitu pada 10,11 & 12 Mei 2025. Jadinya, kami memang decide nak sewa di sekitar situ sahaja memandangkan dekat dengan Drawbridge Terengganu dan nak ke jeti Marang ke Pulau Kapas pun senang. Jarak inap desa kami ke Marang Jeti hanya 5.1 km sahaja.

Sampai sahaja, seperti biasa kami akan meninjau seluruh inap untuk memastikan penginap kami semua puas hati dan sesi mengecop (macam booking) bilik tidur berjalan. Dalam rumah inap ini, ada 3 bilik tidur sahaja dan kebetulan penghuni nya nanti terdiri dari anak-anak dara, anak buah lelaki, dan anak kecil. Jadinya, 1 bilik memang kami tetapkan untuk Oteh sekeluarga yang mempunyai anak kecil untuk keselesaan mereka, memandangkan anak kecil biarlah tidur selesa di dalam bilik. Aku lebih suka mengalah, tidur lapang di ruang tamu dengan suami. Anak-anak dara ni, kami bagi 1 bilik juga. Jadinya bilik akhir tu, kami bagi je pada 2 orang ipar perempuan aku yang mungkin tak selesa tidur bergelimpangan. Aku tak kisah, sebab dah biasa tidur berlambak masa kecil dulu.
*Kalau nak jalan-jalan santai tepi pantai, rumah inap ni sangat sesuai. Seberang jalan, dah jumpa laut.
*Dalam rumah inap yang bersih dan memang selesa. Toilenya ada 2 dan sangat besar & yang penting sangat bersih
*Meja makan di dapur yang tingkapnya beleh dibuka luas. Panoramik betul
Petang tu, terus kami siap-siap nak buat bakar-bakar ikan, kambing perap, ayam, sotong yang dah tersedia. Makan malam kira makan bakar-bakar, pun dah memadai pada kami. Rupanya, bila dah combine semua, makanan ada lebih pula dan mencukupi. Alhamdulillah....
Jam 12.00 malam, aku dah mula tarik selimut sebelah suami aku. Tapi ada juga anak-anak buah aku, mungkin excited masih berjaga, sedangkan aku dah remind untuk bangun awal esok, sebab destinasi kami esok adalah memang 100% ke Pulau Kapas + hiking + berenang sampai kecut!.
ITENARI - HARI KEDUA (PULAU KAPAS)
Jam 5.30 pagi dah bangun, siap-siap keperluan dan mandi untuk ke jeti Marang. Dalam group whatsapp aku dah ingatkan semua untuk berjumpa di Jeti Marang seawal jam 7.00 pagi, sebab nak sarapan dulu then beli makanan extra untuk dibawa ke Pulau Kapas. Di Pulau Kapas aku ada beritahu adik dan ipar aku, ada juga makanan, tapi sendiri ingatlah dengan harga yang akan dikenakan. Memang mahal sedikit. Jadi, semua diingatkan untuk membawa (tapau) makanan berat sikit untuk sepanjang aktiviti di Pulau Kapas sehingga petang tu.
Sampai di jeti Marang, masing-masing semua excited dengan pakaian renang masing-masing. Kami berkumpul di kedai makan yang berdepan dengan pasar awam jeti tu, Pasar Bandar Marang. Kami berpecah dulu untuk masing-masing bersarapan di mana-mana gerai pilihan mereka. Last-last, semua berkumpul di kedai yang aku dan suami pergi, di belakang sekali. Gerai ni memang di perkenalkan oleh orang sekitar, sebab lauknya yang pelbagai, sedap malah harga berpatutan. Ipar aku tapau makanan extra, aku pun beli extra juga untuk bekalan ke Pulau Kapas.
Cerita masa nak naik bot pula. Kat sini, macam-macam ragam yang aku nak kongsikan, nak gelak ada, nak marah pun ada. Maklumlah, trip besar kami buat julung-julung kalinya ni, gawat le masing-masing excited. Bila sampai di sana, aku dan suami sebagai urusetia, pergilah beratur ke kaunter bayaran masuk ke Taman Laut dan Bayaran Caj Jeti (2 caj dikenakan, sedangkan sebelum tahun ini, kami pergi tak pernah ada caj jeti). Suami aku ni kiranya bayar kan dulu untuk semua pax, then nanti masing-masing bayar semulalah pada suami aku.
Masa beratur adik ipar ni semua tunggu di satu sudut (pagar masuk ke arah bot). Orang memang ramai dan bersesak-sesak. Kami beratur mula-mula di kaunter Taman Laut, sampailah giliran kami, kebetulan ada pelancong dari Negara China di depan kami. Then mungkin dia tak berapa faham, di menoleh ke belakang dan bertanya pada kami. "How much?" dalam pelat chinese dia. Suami aku balas, Ringgit Malaysia Five (RM). Masa ni suami aku tak perasan foreigners harganya berbeza dengan resident. Bila suami aku perasan balik, "Er, sorry. Thirty for foreigners. Five for Malaysian". Then kedua pelancong tu macam kelat sikit muka mereka. "Ouh, only Malaysian five ringgit" balas mereka. Then aku dah tak faham apa dia cakap Mandarin dengan kawan nya. Tapi jelas lah dia ada sebut "Malaysian". Mungkin agaknya butiran percakapan mereka mengandaikan 'kalau kita rakyat Malaysia, kita dapat harga RM5". Agaknyalah...
Settle semua proses bayaran Taman Laut dan caj penggunaan jeti, aku dan suami terus ke arah adik-beradik aku yang dah berkumpul di pagar masuk laluan jeti. Aku dan suami terus panggil adik ipar ke arah kami. Dalam pada ni, aku tak perasan siapa ada, siapa tak ada sebab aku dah ke depan sekali memandangkan suami aku akan count pax berdasarkan tiket-tiket yang dibeli. Nak jadikan cerita masa kami terus ke bot laju, aku anak beranak terus masuk bot laju. Masa ni, aku dah perasan, keluarga aku semua ada, adik aku Nurul, Pak Ngah seorang, ada family Melayu termasuk anaknya dan Pak Lang suami isteri, malah 2 pelancong dari China tu pun ada. Lebih kurang 14 ke 15 orang dalam bot tu.
Nak jadikan cerita, pada hari kami nak ke Pulau Kapas tu (hari Sabtu), ada pula pegawai dari Jabatan Laut buat rondaan dan semakan bot ke bot. Mungkin masa tu musim mencandat sotong, jadinya penguatkuasa lebih banyak melakukan rondaan. Masa pegawai Laut tu check bot kami, dia kira berapa pax dalam bot tu. Jadinya, syarat Jabatan Laut dalam satu bot tak lebih dari 12 pax sahaja. Jadinya, memang sah-sah bot kita orang dah overload, tapi aku tengok memang banyak seat yang kosong. Maksudnya 14 orang tu memang ok lah. Tapi, pegawai tu tak benarkan, ikut prosedur Jabatan Laut. Jadinya, foreigner dari China tu terpaksa keluar semula dari bot tu, then barulah bot dibenarkan berlepas.
Dalam perjalanan tu, masing-masing dah perasan ramai antara dari rombongan kami tak ada. Rupanya dah naik ke bot lain, memandangkan satu bot boleh 12 orang sahaja. Jadinya kami terpisahlah, tapi tujuan masih tetap sama. Yang kelakarnya, Pak Ngah nye family. Pak Ngah je seorang rupanya lepas ke bot kami, yang lain-lain Mak Ngah, Kak Iman (anak perempuan pertama), Abg Annas (angah), Imad (yang ke-3) dan Zahra (Bongsu paling kecil) semua ditinggalkan ke bot lagi satu. Pak Ngah ni bawa beg rileks je baik bot kita orang, kami pula yang sibuk tanya dia. 'Mana yang lain?'. Biasalah anak tengah ni nye mangkau, senang je dia jawab 'kene tinggal' sambil senyum lebar. Bukan tu sahaja tertinggal, rupanya satu beg besar yang mengandungi jajan, coklat dan roti yang baru dibeli untuk makanan lepak di Pulau, rupanya semua tertinggal di atas jeti. Kami dapat tahu semua tertinggal (dah semua kelam-kabut) masa dah sampai Pulau Kapas, itupun Mak Ngah beritahu. Berangin juga Mak Ngah dengan Pak Ngah.
PULAU KAPAS + HIKING BUKIT SINGA
Sampai di Pulau Kapas, kami berkumpul dulu satu keluarga. Then sampai je bot adik ipar lagi satu ni, perkara pertama yang hangat pagi tu, Mak Ngah bengang je muka tapi still mampu tersenyum bila kami usik-mengusik. Mau tak bengang bila suami tinggalkan anak bini kat belakang naik bot bawa diri sendiri je. Pak Ngah balas, 'Siapa suruh lambat. Kena tinggal le' tapi dalam nada bergurau dan mengusik anak bininya. Memang jadi bahan lah Pak Ngah. Takpe, janji semua selamat sampai, dan matlamat dah terbentang depan mata kami! Cuma terkilan sebab satu beg besar berisi makanan ringan yang masih belum dibuka semuanya, tertinggal je macam tu. Tak apalah, rezeki siapa yang jumpa lah nampaknya.
Dalam pada tu, kumpulan kami berpecah kepada dua. Kumpulan nak hiking ke Bukit Singa & kumpulan yang mandi depan Pulau Kapas je. Ipar aku Mak Bik dan keluarganya sudahnya jadi penjaga beg-beg dan bekalan makanan kami memandangkan keluarga mereka tak join ke Hiking Bukit Singa. Kebetulan Mak Bik yang sedang mengandung 6 bulan, kami tak benarkan join trip tu. Tapi anak sulung mereka, Abg Adhi dan Kakak Amrina (umur lingkungan 13 - 15 tahun) join hiking ke Bukit Singa atas pemantauan kami.
Pak Ngah, Pak Lang & isteri, Mak Oteh (Pak Oteh tak mendaki), Ucu dan Acik semua join hiking ke Bukit Singa. Semua excited!. Tapi dalam group ni, Mak Ngah dan dua anaknya, Pak Oteh (anak masih kecil semuanya) tak join hiking sebab masing-masing ada anak kecil. Jadinya, kami yang dah boleh jaga diri masing-masing ni, terus naik bot dan mulakan perjalanan.
Boatman yang kami ambil ni (pakej dari Mok cik Gemuk) memang terbaik. Boatman dia hantar kami di betul-betul di gigi air dan kawasan berdekatan Bukit Singa, jadinya kami tak perlu jalan jauh dan menempuh batu-batu tajam untuk ke Bukit Singa. Kami dihentikan di kawasan teluk berdekatan, lepas itu kami cuma jalan kaki sikit untuk ke Bukit Singa. Sepanjang perjalanan, aku lihat ramai remaja dan orang dewasa yang berjalan ke arah Bukit Singa dan berselfie. Anak-anak muda yang masih kuat lebih suka mencabar diri sendiri, dan menyeberang laluan sebelah ke bukit sebelah untuk mendapatkan pemandangan yang lebih eksklusif.
*Hikers muda-mudi ni dah seberang Bukit Singa nak view lagi gempak
Masa aku mula-mula dah dibawah kaki Bukit Singa, jantung debar sikit lah. Maklumlah, fitness tak berapa nak jaga. Badan ada rasa berat sikit. Tapi melihat wajah-wajah mereka yang semangat naik ke atas, aku pun cabar diri aku untuk teruskan, 'dah sampai beb!' hati dan otak aku seakan memberi semangat. Laluan ke atas kali ni nampak mudah berbanding sebelum ini (aku tak ingat tahun aku pernah daki Bukit Singa, lama dulu) yang memang tak dipasang tali tepi tu sebagai tempat berpaut. Jadinya sebelum ini, pendaki naik kene berpaut pada tanah sekitar, seksanya ya amat.
Kali ini, ada tali telah siap dipasang sepanjang jalan nak naik ke Bukit Singa. Jadi, kami rasa confident dan lebih mudah sikit berbanding masa awal dulu, nak turun tak ada tali lagi azab, terpaksa membuntut. Cuaca pula memang amat panas, sebab kami lewat sikit naik bukit, memandangkan boatman kami terlambat ambil kami ke Bukit Singa. Takpelah, masing-masing dah pakai topi dan sunscreen bagai untuk protect skin masing-masing.
Masa sampai di tengah Bukit Singa, goyah juga aku sebab dah lama tak jaga fitness. Memang silap aku. Tapi bila tengok pemandangan yang terbentang depan mata, Masya Allah....lupa dah sakit dan debar tu. Aku sahut lagi cabaran naik ke atas. Masa tengah naik, bertembung dengan group adik-adik perempuan yang remaja ni, bagi semangat kat aku 'semangat cik!semangat cik!' lagi aku teruskan pendakian kami sampai ke puncak. Alhamdulillah....akhirnya sampai di puncak. Mata menyaksikan kebesaran Allah, hati tak lekang memuji, bertasbih atas keindahan ciptaanNya. Maha Suci Allah...
SYURGA DUNIA DI DEPAN MATA
Masa dah sampai kemuncak, memang ramai lah group hikers ni mengambil peluang bergambar kenangan dan mencari angle terbaik untuk mengabadikan foto terbaik mereka. Aku pun tak lepas peluang juga. Tanda dah sampai!. Suami aku pun sama, naik sampai ke puncak. Terbaik en suami!!
Pemandangan yang terbentang depan mata bila berada di atas Bukit Singa tu, sukar nak digambarkan dengan catitan aku, malah kalau digambarkan pun, takkan sama perasaannya bila mata sendiri menyaksikan keindahan ciptaan Allah. Sangat indah....sampai hati berbisik sendiri 'Inilah syurga dunia'....
Nak selit juga satu peristiwa yang sikit melucukan disini. Pak Lang & isteri juga berjaya naik ke atas Bukit Singa. Nampak oklah. Tapi rupanya baru aku tahu, Pak Lang ni macam ada perasaan over takut sikit pada benda tinggi. Kebetulan dia ni memang ada darah tinggi, jadinya mungkin itu pun faktor bila dia panik dan sedikit gayat, dia macam lost sikit emotion dia. Dia ni selalu kalau dalam keluarga kami, nampak cool je, macam nampak dia paling berani. Rupanya, masa di atas bukit tu, terserlah air mukanya yang panik dan takut. Nasib baik isterinya ada, terpaksalah cool down kan dia sepanjang berada di atas bukit tu. Tapi Alhamdulillah, dia dah sampai, cuma jadi bahan usikan kami je lah lepas tu bila kenangkan riak mukanya yang merah dan nampak cemas bila berada di atas Bukit Singa tu.
*Pak Lang (bertopi hitam). Serius nau muka...
Lepas puas bergambar, berselfie bagai, kami semua turun dari Bukit Singa yang menjadi titik permulaan adventure dalam FD kami. Masing-masing lepas turun, terpancar dari air muka masing-masing kepuasan dapat mendaki dan melihat sendiri panorama yang sangat indah di depan mata mereka. Itu sebab orang cakap, tak sama kita sendiri yang merasa berbanding dengan melihat dari gambar sahaja. Syukur Ya Allah! atas kurnia rezekiMu yang memberi hambaMu merasa nikmat dunia fana ini.
Macam biasa, once semua dah berkumpul di teluk mula-mula kami dikumpulkan, aku roger boatman ambil kami untuk ke Taman Laut pula, bagi aktiviti snorkeling. Part yang paling kami semua tunggu-tunggu!
SNORKELING DI TAMAN LAUT, PULAU KAPAS
Masa atas bot, semua diminta memakai life-jacket sebelum dibenarkan turun ke laut untuk snorkeling. Memandangkan bot tu semua family kita orang dan tiada orang luar, memang seronoklah kami conquer satu bot tu. Boatman dah siapkan peralatan snorkeling dan kami dibenarkan untuk memilih yang mana satu. Kami di ajar untuk memakai life-jacket yang bersesuaian dan betul, begitu juga dengan alat snorkeling. Pakai ikut keselesaan masing-masing.
Sampai je di Taman Laut (agak tengah sikit), boatman mematikan enjin bot dan kami dibenarkan untuk berenang. Aku memang excited untuk snorkeling, sebab sukakan pemandangan indah bawah laut, antara orang awal yang terjun ke laut meneruskan aktiviti adalah aku. Tak mampu nak pakai kamera 360, handphone aku yang dah aku masukkan dalam beg kalis air baseus 'terjun' bersama aku untuk aku ambil gambar dan video si tiny clown fish. Ralit aku bersnorkeling, tak hiraukan yang lain-lain tapi memang suasana bot kita orang dengar suara riuh-rendah adik, ipar dan anak buah.
Bila lama sangat snorkeling, sesekali mata aku mengawasi yang lain-lain, agar semua dalam radar yang selamat. Tak mahulah ada yang terlalu jauh dari bot kami dan kadang-kadang arus laut yang kuat boleh juga menyebabkan kita tak perasan dah berenang jauh dari bot kita. So, bila sesekali menaikkan kepala, aku perasan ada beberapa ipar dan adik aku yang masih seram sejuk nak turun laut. Masih lagi terjerit-jerit atas bot, tapi muka masing-masing geram tak cuba cicah air laut. Biarkan!...Nanti turun lah tu. Hati aku seolah bercakap dengan diriku sendiri. Aku senyum je dalam air, continue menikmati pemandangan dasar laut yang comel-comel belaka.
Then masa berenang tu, terdengar conversation salah seorang adik dan ipar aku, "tu ha, mak long (panggilan utk aku yang sulung oleh adik-adik dan ipar aku) tak naik-naik dari tadi". Mungkin satu cabaran buat ipar dan adik-adik yang tak turun-turun dari tadi, seorang demi seorang mula beranikan diri untuk snorkeling. Ada yang cuba dekat sekitar bot, ada yang masih berpegang pada tali. Lama-lama mungkin dah dapat momentum masing-masing, baru berani main lama sikit. Alhamdulillah! semua adik, ipar, anak buah turun bersnorkeling. Hajat aku untuk semua melihat keindahan ciptaan Allah di bawah sana, tercapai dan perasaan seronok tu sukar sangat nak digambarkan.
*Oteh & Acik seronok bersnorkeling. Nampak tak tali berpaut tu? Hehehe...
Masing-masing nampak sangat gembira, happy dan release semua stress dari muka masing-masing. Pak Ngah yang berenang di sebelah aku, turut leka memerhati batu karang dan di balik batu karang ikan-ikan kecil yang berwarna-warni 'mengacah' kami mempersona jiwa. Subhanallah....cantiknya ciptaan Kau Ya Allah. Tak kan pernah puas hati dan mata ni menikmati keindahan ciptaan Kau.
Kami bersnorkeling agak lama di Taman Laut, Pulau Kapas. Tak peduli dah matahari atas kepala ke, kulit tanned ke, janji seronok. Lepas puas, kami semua naik ke bot, memang masing-masing nampak keletihan dan perut mula lapar. Jadinya, kami kembali ke persinggahan yang Pak Bik dah book tempat lepak kami. Spot yang Pak Bik ambil memang cun. Kami duduk seakan di depan pintu gua kecil. Selesa dan redup. Mula-mula hati macam risau juga, sebab tempat berbatu ni kita perlu aware sikit. Bukan apa, takut binatang berbisa atau apa-apa sahaja yang mungkin bersembunyi di dalam ruang tu. Syukur, tiada apa yang berlaku dan kami sangat selesa lepak di situ sampai ke petang.
AKTIVITI BEBAS
Seusai naik dari jeti, perut memang dah minta diisi. Kami semua berpecah memandangkan ada yang merayau lagi dan kami teruskan dengan mencari kedai makan untuk makan malam. Kebetulan sepanjang perjalanan balik ke rumah inap, ternampak rumah kedai sederet di tepi jalan, bersebelahan kedai kecantikan, ada sebuah kedai tom yam. Nampak lengang tapi santai, kami sekeluarga dan Ucu singgah untuk makan.
Masakan tom yam nya sedap gile. Portion banyak dan puas hati dengan harga yang dicaj kepada kami. Kami pesan ikan siakap kukus asam ala thai, siakap 3 rasa, kailan ikan masin, telur dadar, daging masak paprik, tom yam untuk 5 orang. Portion nasi untuk 5 orang, caj dikenakan lebih kurang tak lebih dari RM100. Puas hati! Cuma tak dapat nak share disini, memandangkan semua dah lapar, terus je makan. Tak sempat ambil gambar berselfie...
Dah makan, terus kami balik ke rumah inap. Time ni semua aktiviti bebas je, memandangkan semua dah penat bermain seharian di Pulau Kapas. Malam kami ada juga berborak dengan adik-adik, mengimbau kenangan, mengusik antara kami dan tak sedar bila terlelap.
ITENARI HARI KE TIGA - TERENGGANU DRAWBRIDGE & PULANG KE MELAKA
Aku dah bangun lebih awal pagi-pagi terus bersihkan diri. Memang dah jadi habit aku, akan siap dulu, memandangkan aku lambat siap. Dah siap, lain-lain akan menyusul bangun. Aku dah mula kemaskan barangan ke dalam beg dan mula membersihkan rumah inap sikit-sikit. Suami aku mengajak kami menyusur tepi pantai di depan, melihat matahari naik. Aku bersiap ala kadar, terus ke pesisir pantai bersama suami melihat pemandangan matahari naik di pagi hari. Jauh nun di sana, jelas kelihatan Pulau Kapas, memanggil-manggil kami untuk datang lagi. Ada rezeki, kami datang lagi..
Lepas tu, kami bersarapan di warung depan tu juga. Warung ni memang famous di kalangan orang-orang masjid sekitar situ, dimana seusai solat Subh, kebanyakan akan singgah minum dan sarapan pagi disitu. Jadinya, masa aku dan suami di kedai tu, pakcik makcik yang baru balik masjid ni sampai berduyun-duyun. Silap aku yang nak cepat, pakai t-shirt tangan pendek, sudahnya aku cepat-cepat habiskan sarapan aku, berlari balik ke rumah inap di seberang jalan.
Dalam jam 10.00 ke 11.00 kami semua dah siap packing semua barang kam ke dalam kereta. Kami plan, nak singgah sebentar di Drawbridge, Terengganu untuk bergambar kenangan sebelum bertolak balik ke Melaka. Sempat kami semua menitipkan kenangan bersama dengan mengambil gambar seluruh ahli keluarga tanda kami semua pernah hadir di sini. Masing-masing rasa sedih, rasa tak cukup, rasa nak lagi berkumpul dan semua perasaaan tu bercampur-baur.
Kami bertolak ke Drawbridge, Terengganu. Perjalanan tak jauh, dan kami sering update live location di dalam group untuk memastikan semua berkumpul di tempat sama. Sampai je di Drawbridge, kami semua turun dari kereta dan bergambar bersama.
Ipar duai ada juga bertanya, "Along beli keropok lekor kat mana?". Aku suggestkan pada ipar duai di Pahang, Warung Lekor Ghani Black yang memang sedap dan viral. Sebelum aku tahu kewujudan Keropok lekor Ghani Black ni, aku sering juga ke Pasar Payang mencari keropok. Tapi selepas diperkenalkan ipar belah suami aku, warung keropok lekor Ghani Black ni lagi sedap, ni antara destinasi wajib aku singgah beli keropok dalam perjalanan balik ke Melaka.
Jadinya, kami sepakat nak singgah di Warong Keropok Lekor Ghani Black untuk membeli buah tangan buat saudara terdekat di Melaka. Selepas je puas bergambar di Drawbridge, terus kami ke destinasi selanjutnya.
Sampai di Warung Keropok Lekor Ghani Black, kami singgah makan dan minum kedai bersebelahannya yang menyajikan makanan panas-panas. Syukur, tak perlu cari kedai makan lain, sekali arung sahaja. Aku seperti biasa memborong keropok basah dan kering untuk ole-ole orang tersayang. Aku sempat capai 3 bungkus keropok lekor basah 3 plastik (1 plastik ada 10 batang keropok lekor berharga RM10.00) dan 2 kampit keropok kering ikan talang. Ramai juga beratur, dan ada yang borong lagi banyak daripada kami, sampai habis beratus. Fuhhh....
Selesai makan tengahari, kami tak lengah lagi teruskan perjalanan pulang. Kami seperti biasa tak mahu sampai Melaka lewat malam. Mata masing-masing bila dah malam biasalah, silau dan kurang nampak jelas. Jadinya, masa main peranan penting pada kami. Adik dan ipar aku masih tak boleh move on, nak teruskan perjalanan ke KL, sambung percutian mereka. Aku dan suami tawakal, nak teruskan ke Melaka. Jadinya kereta kami hanya sebuah dari ramai-ramai yang ada antara ipar dan adik beradik.
Masa nak gerak ke Melaka, Pak Oteh dan Mak Oteh beritahu aku yang mereka tak jadi cuti ke KL. Nak terus balik, konvoi dengan aku. Alhamdulillah, adalah kami teman balik bersama. Terus kami shoot balik, sama-sama.
Sampai di Alor Gajah sekitar jam 10.00 malam lebih kurang. Kami berhenti makan di sebuah kedai tom yam, berdekatan sederet dengan beberapa rumah kedai lain. Dapat luruskan kaki dan pinggang, makan walaupun badan letih dan mata mengantuk. Layankan...
Kami berpecah pulang ke rumah masing-masing selepas kereta mula masuk ke kawasan perumahan dan laluan masing-masing. Tak habis di situ, sebulan rasanya, masing-masing rasakan tak puas dengan percutian itu. Kalau bercakap je dalam group keluarga, mesti masing-masing eager nak buat lagi next year. Tahun depan 2026, jika Allah izinkan, ke Redang pula. In Shaa Allah...
Comments
Post a Comment