"TERBANG PULANG KE SARANG"

 29 JUN 2025 / 3 MUHARRAM 1447H

"TERBANG PULANG KE SARANG" SELEPAS PEKENA TEMPOYAK & THE BEST DURIAN

Assalamualaikum wmt wbt;

Bersambung kembali kali ini perkongsian aku bersama keluarga tercinta seusai pulang dari tapak perkhemahan Homestay & Chalet Pak Man, Batu Malim, Raub Pahang yang telah meninggalkan memori indah dalam diri ku sekeluarga. Tak bangkit lagi dari rasa seronok bercamping, jalan pulang yang kami ambil untuk pulang ke Melaka masih melalui jalan lama. Sepanjang perjalanan, pokok-pokok durian di atas bukit menghijau memukau mata di tanah landai dan juga bukit-bukit sepanjang jalan Karak. Terdapat juga pokok durian lama di kampung-kampung yang tinggi-tinggi yang sudah pasti telah berusia lebih dari 10 tahun dan rasa buahnya yang lebih asli. Pokok durian yang dikomersialkan tanamannya, lebih rendang dan berbuah cepat berbanding pokok durian kampung yang tempoh mengeluarkan buahnya memakan masa melebihi 10 tahun. Permintaan pasaran luar terhadap buah durian ini, menjadikannya tanaman komersial yang lumayan dan sebab itulah ianya banyak ditanam di Malaysia. Peliknya, pengimport durian Malaysia iaitu Negara China, memang lebih sukakan durian Malaysia berbanding durian negara lain. Mungkin sebab rasanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain. 

Aku suka je makan durian, tapi taklah sampai hunting untuk cari yang the best durian ni sampai sanggup ke ceruk kampung atau pedalaman mencari yang terbaik. Kalau ada yang kampung, aku makan je. Tapi kalau makan IOI atau Musang King, aku boleh makan 10 ulas lebih kurang. Sedap beb...rasanya lemak manis dan pekat, bila masuk ke mulut rasa macam kunyah cheese cake teksturnya lebih kurang (ke aku tak pro merasa?). Suami aku memang sukakan durian, dan kali ini nampak dia yang beria makan durian. Sebab, baru minggu lepas dia ajak kami sekeluarga cari durian di Pengkalan Batu, Melaka. Tapi, mungkin tak kena dengan citarasanya, nafsu nak makan yang terbaik tu masih meluap-luap lagi agaknya. Then, perjalanan pulang melalui Karak Lama ni, memang spot penjual durian yang banyak dan murah ditambah kualiti durian yang memang tak boleh lagi dinafikan sangat baik dan sedap. Berbaloi la pula dengan harganya.

DURIAN KARAK, PAHANG

So, berbalik pada perjalanan pulang ke Melaka atau bahasa puitisnya bagai burung 'terbang pulang ke sarang', aku dan keluarga sempat singgah di gerai tepi jalan Karak, yang terdapat ramai penjaja durian terbaik Negeri Pahang. Alang kepalang nak makan durian, encik suami singgah di salah satu gerai penjaja durian dan sebaris mereka ada ramai lagi penjaja buah durian yang lain dan masing-masing mempamerkan durian-durian terbaik di depan meja khemah mereka. 

*Gerai penjaja durian ni tepi jalan sahaja. Kalau perhatikan, kereta-kereta yang singgah akan park di bahu jalan untuk membeli durian.

Kesemua mereka gigih melayan pembeli yang datang, dan aku nampak memang pengunjung tak putus-putus singgah membeli dan makan di sana. Sampai saja, aku, suami dan adik (2 anak perempuanku tak keluar kereta, yang masih keletihan) terus buka pintu kereta dan menuju ke salah seorang penjaja buah durian. Encik suami terus bertanya harga, dan kami rasakan sangat berbaloi dengan buah Musang King dan durian isi merahnya. Harga sekilo RM25 tu kami rasakan adalah berbaloi dan segar dari ladang. Once kami on je nak beli, penjaja terus membelah durian di depan mata kami bagi memastikan kualiti buah durian yang dijual memang sangat baik. Memang bila dikopek buahnya, semua bewarna kekuningan dan bulat-bulat menggoda selera. Suami aku terus minta timbang beberapa buah untuk kami makan di khemah situ juga.

*Warna, tekstur, rasa dan kualiti buahnya memang tak ada tandingan. Durian Pahang, rasanya the best!

Kami terus mencapai kerusi yang diletakkan di dalam khemah penjaja, dan menunggu penjaja membuka kesemua buah durian yang kami beli. Rasanya memang padu, sangat likat, berlemak, manis, dan suami aku juga diberi sebiji buah durian kampung yang rasanya agak pahit sedikit. Puas hati dapat makan durian yang baik, sebab nilai ringgit yang kita keluarkan terasa setanding dengan kualiti buah yang diterima. Setiap meja diberi beberapa botol air mineral 250ml secara percuma, untuk sejukkan badan selepas makan durian. Sebab durian ni kan panas, dan kita perlu banyak minum air masak bagi memastikan badan tidak overheat bila makan durian yang lebih.

*Terpancar dari wajah masing-masing, keenakkan durian Pahang. Puas hatilah!

RESTORAN KAK SUE NASI ULAM, RAUB PAHANG

Lepas makan, tapau sikit buah durian untuk mak mertua di Melaka. Kemudian, perjalanan kami diteruskan. tak mahu sampai malam di Melaka. Tak sampai sejam makan buah durian, nak kata terlalu lapar pun tidak. Tapi suami aku terpandang satu kedai makan di tepi jalan ni, kedai makan tengahari. Kedai Kak Sue Nasi Ulam Raub, Pahang namanya. Kalau tengok dalam Facebook nya, suami bekas pelakon Zizie Izzette, Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar & Datin Seofea Jane pun pernah singgah di kedai ini untuk makan tengahari.  Nampak lengang tapi suasana bersih dan macam tertarik tengok kedai tu. Kami sepakat singgah makan tengahari terus. Lagipun nak le merasa masakan Pahang pure alang-alang dah nak balik Melaka ni. Masakan paling glamour orang Pahang, patin masak tempoyak dia. Kena pula, time ni tengah musim durian. Nak juga rasa tempoyak Pahang dan masakan orang Pahang.

*Banyak ulam-ulaman segar dan pelbagai jenis kuah cicah seperti budu, tempoyak, sambal belacan malah kuah asam terhidang. Sumber: Google Image

*Pintu masuk ke kedai, mudah untuk parking kereta. Sumber: Google image


Kelima-lima kami terus ke meja hidangan yang tersedia perlbagai jenis juadah menyelerakan. Apa yang bestnya, makanan yang disediakan diperagakan dalam almari jaring bertutup, bersih dan meyakinkan pengunjung untuk menjamu selera. Kami ingatkan kami kene order, tapi self-service dan makan di meja, kemudian pelayan akan mengira makanan masing-masing di meja kita nanti. Suasana kedai sangat bersih, tersusun dan sedap mata memandang suasana sekitarnya. Jadi, pengunjung yang datang pun rasa berselera nak makan dan santai-santai. 

*Pelbagai aneka pilihan cicah ada


Memandangkan aku ni perut tak hadam habis lagi durian tadi, aku ambil kuah singgang, peha ayam kampung goreng kunyit, sayur ulam salam, sambal belacan. Cukup dah untuk tekak aku!. Suami aku pula, favourite dia ikan keli goreng berlada, kuah cili sikit, tempoyak dengan kuah kicap (ada letak bawang tapi sedap). Anak aku yang sulung aku tak perasan dia ambil apa, tapi yang aku ingat sambal belacan dia amik satu mangkuk (actually dia amikkan untuk kami berlima, tapi kami dah ambil portion kami masing-masing) tapi fully loaded juga. Anak bongsu aku pula ambil paru goreng cili, kuah sikit dan ayam goreng. Adik perempuan aku pula, ikan patin tempoyak, ada sambal-sambal sikit, sayur. 

Rasanya, ini kali pertama aku rasa tempoyak cicah tu kena sangat dengan tekak aku. Sebenarnya, aku ni bukan penggemar tempoyak dan apa juga jenis masakan berkaitan tempoyak ni. Pernah juga rasa masakan tempoyak kawan-kawan pejabat buat, tapi just boleh makan macam tu sahaja. Tak sampai rasa sedap sangat dan tak pula teringat-ingat. Tapi, bila kami dah kena masakan Pahang pure ni, memang aku tak boleh nak nafikan tempoyak mereka sedap sangat dan memang rasanya sampai ketagih. Bayangkan suami aku repeat kuah cicah tempoyak tu sampai dua kali. Dan memang tekak aku boleh terima tempoyak Pahang ni. Lagi satu patin masak tempoyak ni memang aku tak pernah dan kalau boleh tak mau juga cuba makan. Entahlah, pelik juga selera aku ni. Pernah dulu adik aku belikan aku ikan patin masak tempoyak dari Pahang, tapi bila aku bau je masakannya, tekak aku terus reject.

Sampailah sekarang, aku tak pernah merasa ikan yang ramai penggemar patin ni kata sedap sangat. Nak jadikan cerita, di kedai Kak Sue Nasi Ulam ni, adik aku ambil seketul isi patin masak tempoyak. Adik aku nampak memang berseleralah dengan lauk-lauk pilihannya, sebab apa aku kata dia berselera, memang licin pinggan dia...hahahah. Sempat dia melawa kami (ajak rasa) menu makanan pilihannya. Yelah, mungkin mood seronok berjalan tu, happy dan memang terbuka minda waktu tu, aku ambil secubit. Masya Allah...memang sedap! First time aku rasa patin tempoyak, dan masakannya tekak aku boleh terima. Sebabkan dah kenyang, nilai secubit itulah membuat aku dan suami teringat-ingat sampai sekarang, next time ke Pahang, singgah lagi kedai sama then kena ambil lauk patin masak tempoyaknya...Aduhhh! tak pasal-pasal next camping dah pasti Pahang lagi lah ni...

Lepas makan, kenyang dah semua, perjalanan pulang ke Melaka kami teruskan. Bila nak balik, terasa macam cepat pula kami sampai ke destinasi. Fikiran dah mula set nak kerja semula. Time seronok dah mula tersimpan dalam memori untuk dijadikan kenangan dan pengalaman. 

Suami aku sampai sekarang even dah sampai di Melaka ni pun, dah masuk 2 minggu kami ke Raub Pahang, masih bercerita pasal patin masak tempoyak dan kuah tempoyak yang dia cicah yang sedap sangat tu. Ni pun kami dah mula plan nak bercamping dalam masa terdekat ke Pahang, cuma nak tunggu anak bongsu aku ni settle trial SPM dia dalam bulan Ogos ni, then kami plan bawa dia berehat lagi berlima menikmati nature

Syukur Ya Allah, atas nikmat yang Kau berikan kepada kami di dunia ini. Sesungguhnya sangat banyak nikmat Kau yang Kau berikan kepada kami. Doa ku semoga nikmat ini Allah kurniakan kepada keluarga kami tanpa putus dan dimurahkan rezeki kami di dunia dan akhirat. Aamiin Ya Rabbal 'Alamin...


Comments

Popular Posts